Friday, May 16, 2008

Kerana Karina 2 - Episode 1



Album terbaru Karina 'Yang Mana?' mendapat sambutan yang hangat dan karier Karina kini semakin berkembang. Dato Ross menasihati Karina supaya lebih fokus terhadap karier nyanyiannya. Karina menerimanya dengan baik tetapi Karina masih juga tidak dapat melupakan Imran. Di tempat letak kereta bersama Sherina dan Boy, Karina secara tiba-tiba mengingati Imran...

Thursday, May 15, 2008

Trailer Kerana Karina 2



Saksikan Kerana Karina 2 bermula esok 16 Mei 2008. New episode every Monday, Wednesday, and Friday. Watch it only at gua.com.my.

Wednesday, March 5, 2008

ABPBH 2007: Kunci mulut bab cinta



Penyandang gelaran Bintang Paling Popular, Mawi tegar berahsia soal peribadi

TANYALAH apa saja kepada jejaka ini, baik dari segi karier mahupun perjalanan hidupnya ketika ini, pasti dia akan menjawab segala-galanya dengan penuh senang hati.

Tetapi, andai diajukan persoalan mengenai siapakah gadis yang sedang bertakhta di hatinya ketika ini, pemilik nama penuh Asmawi Ani atau Mawi ini lebih senang dia membisu seribu bahasa. Malah, kalau silap gaya, dia hanya memberikan jawapan 'no comment' terhadap soalan seperti itu.

Begitulah reaksi Mawi setiap kali berdepan dengan soalan sensasi media berhubung perihal jodoh sehingga jawapannya itu meninggalkan perasaan kurang senang sesetengah pihak.

Bertemu Mawi pada majlis sidang media mengumumkan persembahan Minggu Setiausaha yang akan dijayakannya di Palace Of The Golden Horses (POTGH) di Seri Kembangan, kelmarin soalan berbaur peribadi itu tetap menjadi santapan buatnya.

Dan seperti biasa, penyandang gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama dua tahun berturut-turut ini tetap mengunci mulutnya untuk bercakap soal peribadi. Dan perbuatan Mawi ini sekali gus mengembalikan semula ingatan terhadap frasa 'biarlah rahsia' yang cukup sinonim dengan Datuk Siti Nurhaliza suatu waktu dulu apabila ditanyakan soalan yang sama.

Tiada pengakuan rasmi yang diberi, yang kelihatan hanyalah wajah selamba Mawi membiarkan media di sekelilingnya terus berteka-teki.

"Saya rasa jawapan tiada komen adalah satu jawapan yang selamat untuk diberikan sekiranya saya memang tiada jawapan yang perlu diberikan kepada persoalan sebegitu (jodoh).

"Dulu, saya pernah mengambil sikap terlalu berterus-terang namun akhirnya memakan diri saya sendiri. Jadi adalah baik jika saya tidak memberikan sebarang ulasan terhadap isu itu kerana tidak mahu peristiwa lama berulang kembali," ujar Mawi mempertahankan pendiriannya.

Bagi anak jati Felda Taib Andak, Kulai ini pengalaman masa lalu membuatkan dia rasa perlu untuk tidak terlalu terbuka apabila membicarakan soal hati dan perasaan. Tegar berahsia, Mawi berkata perkara itu hanya akan dilakukan jika masanya sudah tiba.
"Tapi saya tak adalah sampai hendak buat pengumuman khas. Cukuplah sekadar memaklumkan kepada semua media supaya tidak ada yang berkecil hati nanti," janji si pelantun Angan dan Sedar ini.

Meskipun enggan mengesahkan yang dirinya sedang hangat dilamun cinta namun dari sinar yang terpancar di mata lelaki ini, jelas menterjemahkan bahawa hatinya kini sudah dimiliki seseorang.

"Saya akui, kehidupan saya kini lebih bahagia dan tenang berbanding dulu. Kalau dulu, saya sering tertekan dan sukar untuk membuat keputusan kerana fikiran berkecamuk tapi kali ini, semuanya lebih terurus," ujar Mawi sambil mengukir senyuman manis penuh makna.

Sedia terima apa saja keputusan

UMPAMA air laut yang ada pasang dan surutnya, begitulah juga yang dapat diibaratkan mengenai nasib dan kedudukan seseorang artis itu dalam bidang seni yang diceburinya. Jika hari ini dia di atas, tidak mustahil apabila sampai waktunya nanti, dia akan tersungkur menyembah bumi.

Dan itulah juga pendirian Mawi apabila membicarakan soal populariti yang dikecapinya. Biarpun pernah dua kali mempertahankan gelaran Bintang Paling Popular ABPBH namun itu tidak bermakna tahun ini gelaran itu masih menjadi hak milik mutlaknya.

Tambahan pula, kali ini, Mawi agak sunyi dari kontroversi berbanding tahun lalu yang menjadikan namanya sering menjadi bahan berita muka depan akhbar.

"Saya akui saingan kali ini cukup sengit kerana kebanyakan mereka yang bertanding memang hebat-hebat belaka. Anuar Zain, Faizal Tahir, Adam, Hazami, semuanya mempunyai peminat tersendiri dan memiliki bakat yang luar biasa.

"Jika tahun ini tak ada rezeki untuk menang, saya tak kisah. Saya akui gelaran Bintang Paling Popular itu memang besar buat saya dan memberi impak dalam kerjaya saya. Malah, saya juga tidak takut untuk kalah. Saya bersedia dengan apa saja keputusan yang dibuat pengundi," tegas Mawi lagi.

Ditanya tidakkah dia teringin untuk menyertai siri jelajah promosi di luar Kuala Lumpur untuk bertemu peminatnya, Mawi berkata jadual hariannya yang ketat membataskannya untuk berbuat demikian.

"Saya baru saja kembali dari Kota London untuk penggambaran rancangan Langkah Mawi untuk disiarkan di Astro Ria. Selepas ini, saya ada program bercuti di Los Angeles bersama peminat. Saya memang sibuk. Insya-Allah, saya akan bertemu mereka pada sesi promosi penutup di Shah Alam, 23 Mac ini," janjinya.

Go Green Mawi 4 April

SEBAIK saja tema Minggu Setiausaha yang dijayakan Mawi diumumkan iaitu Go Green Mawi, pengacara majlis Dee sambil berjenaka mengingatkan perkara itu tak ada kena mengena dengan parti politik apatah lagi demam pilihan raya sedang menghangatkan suasana.

Sebaliknya tema itu dipilih kerana pada persembahan itu nanti sebuah persatuan, Green@Palace, yang berkonsepkan kempen menjaga alam sekitar bakal dilancarkan oleh hotel terbabit.

"Ini adalah antara usaha hotel POTGH untuk memelihara alam sekitar dan dana juga akan dikutip untuk tujuan ini. Jadi pada malam itu nanti, selain berhibur dengan persembahan Mawi, kita juga dapat menerapkan kempen itu di hati setiap tetamu yang hadir," ulas Pengurus Kumpulan Perhubungan Awam POTGH, Farah Halim. Persembahan lebih dua jam itu juga akan menampilkan juara Akademi Fantasia 5, Mila sebagai penyanyi undangan serta kumpulan Balle-Balle.

Mengulas persembahannya nanti, Mawi berkata selain mempamerkan persembahan magik, dia juga akan menyanyikan rangkaian lagu popular termasuk lagu yang ada kaitan dengan tema hari itu.

Acara itu bakal berlangsung di Royal Ballroom hotel berkenaan pada hari Jumaat, 4 April depan, jam 7.30 malam. Ia juga mendapat kerjasama Habib Jewels yang akan menaja tiga hadiah utama cabutan bertuah berupa barang kemas bernilai lebih RM10,000, Astro Prima sebagai media rasmi, Cosry, Jojobali Spa, Nestle dan Palace Beach dan Spa.

Harga tiket untuk seorang adalah M500++, RM400++ dan RM250++. Mereka yang membuat tempahan awal iaitu sebelum 20 Mac diberikan diskaun sebanyak 10 peratus. Semua tiket bolehlah didapati di kaunter khas lobi mulai minggu ini.