Thursday, January 24, 2008

Ala Carte

Jom tgk Marsha memasak. hehe

Part 1




Part 2




Part 3

Wednesday, January 23, 2008

Siti, Mawi berentap lagi

Antara kategori yang menjadi tumpuan, Penyanyi Wanita & Lelaki Popular, Pengacara TV Wanita & Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita & Lelaki Popular.

Apakah pada ABPBH kali ini, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin masih mampu mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular sekali gus membuka ruang kepadanya untuk mengungguli trofi Bintang Paling Popular pada edisi kali ini.

Namun jika diukur kepada kemenangannya yang lalu, ketika itu Siti masih belum berpunya tetapi kini dia sudah bergelar isteri kepada usahawan Datuk Seri Mohd Khalid Jiwa. Sejak itu juga Siti sudah mengurangkan aktiviti seninya demi tumpuan kepada rumah tangga.

Sekembalinya daripada mengerjakan fardu haji baru-baru ini, Siti tampil dengan imej bertudung. Namun berdasarkan pencapaian lalu, apa jua perubahan yang berlaku kepadanya, sokongan peminat terhadapnya tidak pernah goyah. Barangkali imej barunya itu lebih mendapat perhatian peminat.

Siti juga baru hadir dengan album barunya, Hadiah Daripada Hati.

Apabila bercakap mengenai Bintang Paling Popular, tidak dapat dielakkan Mawi adalah saingan terdekat Siti. Populariti Mawi juga ternyata belum goyah kerana dia baru saja dipilih menjadi duta Pelancongan Korea. Pemilihannya itu berdasarkan popularitinya sebagai artis nombor satu negara.

Selain Siti, kategori itu turut menjadi rebutan Jaclyn Victor, Misha Omar, Adibah Nor dan Mila. Bukan hendak merendahkan kedudukan Mila di sisi empat penyanyi senior itu namun hakikatnya Mila yang juga juara Akademi Fantasia 5, sukar untuk menandingi kehebatan mereka.

Jika dilihat daripada tiga artis senior itu, Jaclyn paling memberikan cabaran buat Siti. Dia antara penyanyi yang berjaya mengharumkan nama negara termasuk ke pertandingan Asian Idol di Indonesia.

Untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular, adakah Faizal Tahir yang banyak mencetuskan kontroversi kebelakangan ini mampu merampas trofi itu daripada Mawi yang memenanginya pada tahun lepas. Apapun usah perlekehkan pendatang baru itu kerana naib juara One In A Million itu sangat berbakat.

Walaupun begitu, adakah kontroversi yang dicetuskan menyekat peluangnya untuk merangkul gelaran Penyanyi Lelaki Popular? Barangkali tuah juga menjadi milik Faizal kerana mendapat undi simpati peminat.

Penyanyi lain turut bersaing, Hazami, Adam AF dan Anuar Zain. Tidak disangkal lagi, dari segi kekuatan vokal dan kualiti album yang dihasilkan tahun ini, Anuar Zain adalah pencabar terdekat Faizal dan Mawi. Keupayaan Hazami sebagai penyanyi, komposer dan guru vokal juga tidak pandang ringan.

Tetapi kerana anugerah ini berdasarkan populariti, usah terkejut jika trofi itu sekali lagi menjadi milik Mawi.

Debaran seterusnya kepada lima calon kategori Pengacara TV Lelaki Popular, AC Mizal, Ally Iskandar, Aznil Nawawi, Wahid Senario dan Azwan Ali. Tidak dinafikan sejak Aznil mengendalikan AF selama lima musim kedudukannya sebagai pengacara nombor sukar digugat. Adakah pengunduran Aznil daripada program realiti itu, bakal mempengaruhi undiannnya kali ini?

Aznil juga dicalonkan untuk satu lagi kategori, Penyampai Radio Lelaki Popular (Era).

Artis lain yang turut bertanding bagi kategori sama, AC Mizal (Era), Faizal Ismail (HotFM), Khairil Rashid (X-Fresh) dan Kieran (Era).

Adakah ketiadaan Halim Othman, membuka ruang kepada Aznil untuk membawa pulang trofi itu. Segalanya tidak mustahil kerana meskipun wajahnya tiada lagi di AF namun suaranya terus berkumandang di Era setiap hari mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Sehingga kini belum ada pengacara lelaki yang dapat menggugat Halim yang menang kategori itu selama enam tahun berturut-turut.

Pengacara TV Wanita Popular pula membariskan Cheryl Samad, Fara Fauzana, Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura dan Sharifah Shahira. Adakah Fara berjaya mempertahankan gelarannya atau pun akan menjadi milik Raja Azura. Pengacara mulut becok itu cukup laris tahun ini dan menyerlah menerusi program Gedik Santai.

Perhatian juga terarah kepada kategori Artis Baru Lelaki Popular. Melihatkan fenomena yang dicetuskan bakat baru, Dafi, tidak mustahil trofi itu menjadi miliknya. Biarpun ramai yang mengkritik vokalnya namun wajah comelnya mampu meraih perhatian peminat remaja.

Artis lain bertanding untuk kategori sama, Diddy, Fiq, Kaer Azami dan Bard R1.

Di antara calon Artis Baru Wanita Popular, adakah Fauziah Ghouse yang baru saja menang Anugerah Shine Pantene (SMS) menerusi Anugerah Skrin mampu mengulangi kejayaan kerana kemenangan kali ini juga berdasarkan undian peminat.

Saingannya, Farah Asyikin, Heliza, Julia Ziegler dan Mila. Sungguhpun begitu, Mila berpeluang mengungguli kategori ini kerana dia juga mendapat sokongan padu peminat sejak dalam AF lagi.

Berdasarkan senarai lima terbaik kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, semuanya berpeluang untuk menang iaitu Afdlin Shauki, Pierre Andre, Rosyam Nor, Rusdi Ramli dan Saiful Apek.

Agak sukar meramalkan siapakah bakal menang kerana sepanjang tahun lalu, mereka semua antara penggiat seni yang aktif menerusi hasil karya masing-masing. Di kalangan semua, Pierre calon paling muda namun sudah menyerlah sebagai pelakon, pengarah dan penulis skrip.

Jika dinilai kepada pencapaian pula, Rusdi sudahpun diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20). Tetapi sekali lagi ingin ditegaskan tuah mereka yang bertanding dinilai berdasarkan populariti. Siapa tahu hasil penat lelahnya selama ini bakatnya mula dihargai peminat.

Bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular menyaksikan saingan sengit antara Erra Fazira, Fasha Sandha, Maya Karin, Sharifah Amani dan Vanidah Imran.

Tidak ketinggalan Pelakon TV lelaki pula menyaksikan pencalonan Aaron Aziz, Arash Mohamad, Datuk Jalaludin Hassan, Fahrin Ahmad dan Rosyam Nor. Adakah Aaron Aziz yang dilihat cemerlang menerusi beberapa dramanya tahun lalu seperti Emil Emilda mampu menggugat Rosyam Nor yang memenangi trofi itu pada tahun lalu.

Manakala Pelakon TV Wanita Popular pula mencalonkan Dynas, Eja, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Rozita Che Wan.

ABPBH07 akan berlangsung pada 30 Mac di Arena Of Stars, Genting Highlands.



HARIAN METRO 230108

Mawi Akur Teguran

Malah, rezeki Mawi juga makin luas. Selain menjadi duta produk tempatan, juara Akademi Fantasia 3 (AF3) ini turut menjadi pilihan Korea Tourism Organization (KTO) sebagai duta pelancongan untuk mempromosikan negara terkenal itu di Malaysia.

Bagaimanapun, sejauh manakah Mawi dapat melaksanakan tanggungjawabnya itu? Sukar untuk diperkatakan kerana Mawi sendiri dilaporkan ‘putus idea’ untuk memberi jawapan meyakinkan ketika ditanya mengenai tempat menarik di tanah air sendiri.

Justeru, Mawi disifatkan perlu mendapat bimbingan daripada pihak di sekelilingnya terutama syarikat pengurusan, Maestro Talent & Manegement Sdn Bhd (Maestro). Ia berikutan, penyanyi itu kelihatan tidak yakin pada sidang media dihadiri.

Mawi berkata dia akur pada teguran itu. Malah, katanya sebagai penyanyi dia juga bersedia menerima apa saja teguran demi kebaikan dan kerjaya seninya.

“Pada saya, asalkan ia teguran membina apa salahnya. Malah, ketika membaca laporan itu pun (ruangan Jarum Emas), saya biasa saja.

“Secara tidak langsung, saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Selain itu, saya juga akan mempersiapkan diri dengan pengetahuan am,” katanya .

Bagaimanapun, kata Mawi, setiap orang caranya pasti berbeza. Akuinya, itu memang caranya dan diharapkan ia boleh diterima.

Sehubungan itu, Penerbit Nizarman (M) Sdn Bhd, Ruhani Abdul Rahman berkata dia setuju dengan pandangan Jarum emas supaya Mawi diberi bimbingan. Katanya jika Mawi diberi pendedahan dan asuhan yang baik, pemuda itu akan lebih maju lagi.

“Namun, apa yang terjadi padanya (Mawi) ketika di Korea itu disebabkan tidak mendapat bimbingan cukup. Dalam soal ini, Maestro seharusnya memainkan peranan lebih. Mawi patut menjalani kursus khas yang melatih dia cara berkomunikasi.

“Selaku penyanyi popular, Mawi sememangnya perlu menghadiri kelas bahasa Inggeris untuk memudahkan berkomunikasi apabila berada di luar negara. Justeru, mungkin belum terlewat untuknya belajar kerana ia juga untuk jangka masa panjang.

“Sebagai pemuda yang datang dari kampung, banyak yang Mawi tidak tahu. Oleh itu, tanggungjawab Maestro supaya peka pada keperluannya. Jangan hanya mendapatkan projek menyanyi untuk Mawi saja, sedangkan banyak perkara yang dia tidak tahu,” katanya.

Rohani berkata Mawi artis berbakat besar. Justeru, sudah semestinya pengetahuan Mawi dipertingkatkan. Menerusi cara itu, orang akan lihat peningkatan Mawi itu seiring dengan ‘pengiktirafan’ diraihnya sebagai duta pelancongan Korea.

“Maestro sekali lagi disarankan beri sedikit masa Mawi mengikuti kursus meningkatkan pengetahuannya. Saya percaya, Mawi akan sedia mengikut apa yang ditetapkan Maestro demi kebaikan kerjaya diceburinya ini.

“Kepada Mawi diharapkan memberi ruang pada diri supaya banyakkan membaca. Sekurang-kurangnya, dengan pengetahuan am yang ada dia tidak ketinggalan. Pada saya, pembacaan amat penting menjana ketajaman minda,” katanya.

Bagi pengacara popular, Aznil Nawawi pula, apa yang berlaku pada Mawi itu bukan salah pemuda itu seorang. Katanya tidak wajar jika hanya Mawi dipersalahkan. Sepatutnya, semua pihak harus bertanggungjawab.

“Terus-terang, saya katakan dipilih menjadi ‘duta’ untuk produk atau apa saja bukan perkara yang boleh dipandang mudah. Lebih-lebih lagi, mewakili pelancongan kerana kita membawa nama negara. Ia tanggungjawab besar harus diberi perhatian.

“Jadi ‘duta’ juga bukan hanya dapat banyak duit dengan tayang pakaian dan muka tetapi seseorang mesti berpengetahuan mengenai produk diwakili. Apapun, dalam soal Mawi, dia (Mawi) patut diberi pendedahan pihak berkenaan.

“Sama ada pihak pengurusannya atau pihak yang mengundangnya ke Korea. Mawi juga harus dimaklumkan apa yang dikehendaki mereka. Bagaimanapun, Mawi kena tahu apa tanggungjawab dia yang sebenarnya. Mawi harus teliti,” katanya.

Aznil berkata apabila keadaan seperti ini berlaku, sedikit sebanyak ia mengganggu reputasi Mawi. Sebagai penyanyi terkenal, Mawi perlu bersikap lebih tahu kerana dia sudah tiga tahun bergelar artis. Katanya, situasi Mawi ini diharap menjadi pengajaran pada artis lain.

Dalam ruangan Jarum Emas, Metro Ahad pada 19 Januari lalu dilaporkan Mawi banyak mendiamkan diri ketika sesi sidang akhbar. Kekurangan maklumat mengenai Korea termasuk tanah air sendiri menyebabkan Mawi terpaksa dibantu duta Malaysia di Korea, Datuk M Santhananaban.

Pihak Mawi juga hanya membawa 10 keping CD Mawi pada kunjungan itu. Justeru, bagaimana dia mampu mendekatkan diri dengan penonton Korea.


HARIAN METRO 230108

Jarum Emas: Mawi Perlu Bimbingan

LIMA hari bersama Asmawi Ani di Korea Selatan, terbit rasa bangga, seronok dan debar. Bangga kerana juara Akademi Fantasi 3 itu menjadi duta pelancongan Korea. Seronok kerana itulah julung kali saya dan Mawi dapat peluang bermain ski, selain ke Pulau Winter Sonata.

Sebaik Santhananaban tiba, baru kami masuk ke bilik Jee-Chul Oh. Ikut protokol yang sesuai duduk bersama duta, Mawi dan presiden KTO itu adalah wakil Maestro atau PA Mawi.

Saya ke Korea atas jemputan pengarah, Rahila Ali bagi membuat liputan program Langkah Mawi. Tidak pasal-pasal saya diminta duduk bersama VIP. Penyudahnya, ada bab tertentu saya mencelah menyalur info perihal Mawi dalam perbualan mereka bila melihat Mawi lebih banyak diam.

Kalau saya jadi Mawi, saya akan berbual perihal pasukan bola sepak Korea kerana pada awal perbualan dengan presiden KTO, beliau menyentuh Malaysia melalui pasukan bola sepak pada era arwah Mokhtar Dahari.

Pada sidang akhbar, detik mendebarkan bermula kerana pelbagai media membuat liputan seperti Seoul Economic Daily, Living TV, Newsis, The Travel Journal, Travel Post, The Travel Information News, The Transportation Information News dan Jeju Tourism News. Sesi interbiu dalam bahasa Korea, Mawi ditanya strateginya bagi mempromosi Korea serta apa yang menarik di Malaysia.

Mawi menjawab dalam bahasa Inggeris ikut buku, setiap kali show dia akan cuba promosikan Korea, tetapi tempat menarik di Malaysia pula, Mawi seperti ‘putus idea’ cuma menjawab perihal pulau.

Hinggakan Santhananaban mencelah, kita ada Gunung Kinabalu. Kalau saya jadi Mawi, jika saya sedar bahasa Inggeris saya tidak lancar, saya jawab soalan dalam bahasa Malaysia sebab KTO menyediakan jurubahasa, Shin Jean-Young, bekas penuntut Universiti Malaya.

Setiap soalan wartawan diterjemahkan Shin dalam bahasa Malaysia. Ia memudahkan saya jika saya jadi Mawi untuk menambat hati media Korea dengan ucapan tahniah kerana Korea mendapat kepemimpinan (presiden) baru — moga hubungan dua negara lebih mesra (kedutaan Malaysia di Korea dibuka pada 1962), serta pengalaman indah selama di Pulau Nami, lokasi drama Winter Sonata.

Saya diberitahu Wan Firdaus, pihaknya cuma bawa 10 keping CD Mawi. Kalau saya jadi Mawi, saya bawa 100 keping CD untuk cenderahati untuk diberi kepada duta, presiden KTO dan wakil media Korea untuk mereka mengenali artis kita, selain penonton di taman tema terbesar Asia, Lotte World.

Yang terjadi ketika beraksi di Lotte World, Mawi ada inisiatif mengajak penonton menari, malangnya tiada cenderahati untuk mendekatkan dia dengan penonton Korea.

Natijahnya, Mawi tetap Mawi. Tidak mungkin saya boleh menjadi Mawi kerana saya sedar saya tiada bakat menyanyi. Melalui suara, Mawi boleh menarik perhatian ribuan peminat untuk memujanya.

Namun harus diingat, dengan pena, saya mampu menambat jutaan pembaca untuk mereka kembali menilai antara kaca dan permata, antara artis panjang akal, artis pendek akal atau artis langsung tidak berakal.

ADAM: Gamsa-hamnida

METRO AHAD 200108

Dunia Mawi: Hiburkan Askar

ASSALAMUALAIKUM. Khamis lalu, saya menyertai Malam Gala Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sempena sambutan Jubli Intan RAMD di Hotel Palace of the Golden Horses.

Syukur, acara ini berlangsung dengan lancar. Saya teruja menjayakan persembahan selama setengah jam, apatah lagi ini julung kali RAMD mengundang saya.

Persembahan dibahagi kepada empat segmen, yang mana lagu dendangan saya dibawa secara medley. Dimulakan dengan segmen patriotik, saya menghiburkan tetamu dengan lagu Bahtera Merdeka, Pahlawanku dan Warisan.

Malam gala ini diteruskan dengan segmen P Ramlee dan Saloma yang menyaksikan saya berduet dengan penyanyi RAMD, Niza. Lagu yang menghiasi segmen ini adalah Gelora, Saat Yang Bahagia dan Semalam Ku Bermimpi.

Persembahan diteruskan dengan lagu Memikat Hati yang pernah dipopularkan R Azmi disusuli dengan medley 1960-an di mana saya mengalunkan lagu Laobe, Lagu Jiwa Lagu Cinta serta Salam Mesra.

Sebagai penutup, saya mendendangkan lagu Kian, Cinta Zulaikha, Aduh Saliha serta Angan dan Sedar. Saya puas dapat memeriahkan majlis yang dianjurkan secara besar-besaran ini. Diharap selepas ini RAMD sudi mengundang saya lagi.

Jumaat lalu, saya memenuhi undangan majlis perasmian Careffour Jalan Kapar, Klang. Memang meriah, orang ramai tak putus-putus berkunjung ke sini. Lebih menggembirakan, di Carrefour ada sudut khas menjual barangan Mawi World.

Selepas ini orang ramai yang ingin mendapatkan barangan Mawi boleh singgah di sudut ini. Selain kemeja-T dan topi, turut dijual ialah beg dan peralatan sekolah.

Semalam saya meraikan kira-kira 200 anak yatim di Greentown Mall, Ipoh. Program ini turut mendapat kerjasama Anugerah Amal dan YTL Hotel and Properties (YTL H&P). Selain berhibur, mereka menerima hadiah beg sekolah dan pensil warna terbitan Mawi World yang ditaja YTL H&P.

Kesempatan itu juga saya manfaatkan dengan mempromosi album 1 Dalam 1000. Seronok dapat beramah mesra dengan peminat. Orang Ipoh memang ‘sporting’ dan baik hati.

Hari ini saya fokus perhatian kepada persiapan Anugerah Juara Lagu yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Selain memantapkan vokal, saya perlu meningkatkan stamina supaya persembahan di pentas bertenaga.

Oh ya, minggu lalu saya tidak sempat bercerita pengalaman hari terakhir di Korea memandangkan ruang terhad. Jadi, izinkan saya berkongsi sedikit lagi memori manis ketika berkunjung ke negara itu.

Sebelum pulang ke tanah air, saya menyaksikan persembahan taekwando oleh peserta sukan Olimpik. Pergerakan mereka hebat dan tangkas. Saya berpeluang belajar serba sedikit seni pertahan diri ini dan berjaya membuat tendangan memecah papan.

Berdarah kaki saya ketika melakukan tendangan ini. Jurulatih yang mengajar saya berpendapat saya ada bakat dan memerlukan lebih latihan.

Sebelum bergerak ke lapangan terbang, saya berpeluang membeli-belah selama sejam. Memandangkan barangan di sana mahal, saya tidak banyak membeli. Maklumlah Korea adalah negara mahal dan mencatat kos hidup paling tinggi selepas Jepun.

Istimewanya di negara ini tidak payah risau soal jenayah. Rakyat di sana sangat berdisiplin. Difahamkan selepas habis sekolah, mereka dikerah menyertai askar selama dua tahun. Tidak hairan mengapa kes jenayah sangat rendah di sana.

Masalah paling besar kami adalah bahasa dan suhu sejuk. Bayangkan sudah pakai empat lapis bajupun badan masih menggigil kesejukan.

Saya ingin mengucap terima kasih kepada Duta Malaysia di Korea, Datuk M Santhananaban, Badan Pelancongan Korea, Pengarah Langkah Mawi, Rahila Ali dan krew penggambaran kerana melayan saya dengan baik sepanjang di sana.

Sampai di sini penulisan saya minggu ini. Kita bersua lagi minggu depan. Wassalam.


METRO AHAD 200108

Monday, January 14, 2008

Mawi Promosi Korea

Cerianya dia...

Pemilihan juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3) itu diadakan dalam majlis sederhana di pejabat KTO (Korea Tourism Organazation) di Seoul, baru-baru ini, disempurnakan Presiden PTO, Jee-Chul Oh dan disaksikan duta Malaysia di Korea, Datuk M Santananaban.

Ketika ditemui, Mawi berkata pemilihannya sebagai duta KTO diharap bukan saja menjadi kebanggaan kalangan artis tanah air, tetapi peminat setianya serta rakyat Malaysia.

“Saya sudah dimaklumkan mengenai pemilihan sebagai duta KTO sejak hujung tahun lalu. Ia adalah urusan KTO dengan pihak pengurusan saya, Maestro Talent.

“Pemilihan ini memang tidak saya sangka. Saya bukan saja bangga dan terharu dengan perlantikan ini, bahkan menyuntik semangat untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian, sekali gus membantu KTO mempromosikan Korea di Malaysia sepanjang 2008 ini,” katanya.

Kehadiran Mawi di Korea nyata ditunggu-tunggu pihak media massa di sana. Ini jelas ketika sidang akhbar pemilihan Mawi, pelbagai media tempatan turut membuat liputan seperti Seoul Economic Daily, Living TV, Newsis, The Travel Journal, Jeju Tourism News, The Transportation Information News, Travel Post dan The Travel Information News.

Sejajar dengan perlantikan Mawi itu, soalan kalangan wartawan Korea menjurus cara bagaimanakah penyanyi terkenal kita itu mahu mempromosikan Korea di Malaysia.

Menurut Mawi, selama berada di Korea dapatlah dia berkongsi pengalaman dengan peminatnya kelak betapa menariknya negara itu yang sesuai untuk dikunjungi.

“Boleh dikatakan setiap hari, saya menjayakan pelbagai show di negara saya. Melalui peluang itu akan saya ceritakan kepada peminat saya mengenai negara Korea ini.

“Biarpun kunjungan saya singkat di Korea, saya tertarik dengan keramahan orang di sini,” katanya.

Sesi sidang akhbar itu menggunakan bahasa Korea, namun bagi memudahkan wartawan dan Mawi, KTO menyediakan penterjemah bahasa Melayu, Shin Jenn Young.

Agak mengecewakan pula Mawi seperti kurang bersedia untuk berhadapan dengan wartawan tempatan, apabila ada yang menerjah dengan soalan apakah destinasi menarik di Malaysia serta kenalkah dia pada artis Korea ?


“Tempat menarik di Malaysia seperti pulau Tioman, Langkawi,” katanya ringkas . Melihat Mawi seperti putus idea M Santhananaban mencelah ,” Gunung Kinabalu.”

“Ya, Gunung Kinabalu. Artis Korea yang saya kenal Rain. Kumpulan ini pernah beraksi di negara saya dulu,” katanya.


Bersempena perlantikan itu, Mawi diberi layanan VIP selama lima hari di Korea dengan penerbangan kelas pertama Korean Air serta menginap di Hotel Hamilton di Itaewon.


Ikutkan pihak KTO tidak mahu menempatkan Mawi di hotel bertaraf empat bintang itu, tetapi pengurusan Mawi memilih Hotel Hamilton yang berhadapan dengan Hard Rock Cafe Seoul itu kerana mudah mencari makanan halal.


Kehadiran Mawi di Korea disertai tujuh krew program Langkah Mawi serta seorang wakil Maestro, seorang Pembantu Peribadi Mawi serta seorang wakil Harian Metro.


Korea adalah destinasi pertama Langkah Mawi sebelum menjelajah ke negara lain.

Ikut perancangan, lokasi di Korea cuma dua episod, ada kemungkinan menjadi tiga episod.


Selama di Korea, Mawi diberi peluang membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti belajar memasak makanan tradisional di Institut Of Traditional Korean Cuisine, menjayakan kombinasi teater dan seni mempertahankan diri The Jump, meluncur salji di Gangwon-do, ke Pulau Nami (lokasi siri Winter Sonata), ke Akademi Muzik Samulnori, ke Magic Family Place serta mengadakan persembahan di taman tema tertutup terbesar di Asia, Lotter World.


Bagi Mawi sejak menjadi artis, Korea menambahkan lagi destinasi negara yang sudah dikunjunginya seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Australia dan England.


“Saya tidak pernah bermimpi keluar negara sejauh ini. Ketika di kampung dulu,saya cuma teringin ke Portugal kerana minat pasukan bola sepak negara itu,” katanya.

Harian Metro 140108

Sunday, January 13, 2008

Dunia Mawi: Indahnya Korea...

ASSALAMUALAIKUM. Alhamdulillah, kembara saya ke Korea Selatan berjalan lancar seperti diharapkan. Rombongan penggambaran Langkah Mawi selamat pulang ke tanah air malam Jumaat lalu.

Sampai ke hari ini masih terasa penat, malah badan kurang sihat. Mungkin kerana perubahan cuaca yang ketara. Seperti kita sedia maklum, di Korea Selatan sekarang musim salji. Sejuk mencengkam hingga ke tulang. Suhu sehingga -10° Celsius.

Kami bertolak ke Seoul kira-kira jam 1.30 pagi Isnin lalu dan tiba 8 pagi. Meskipun kesejukan, saya kagum dengan pemandangan bandar raya itu yang sangat cantik.

Saya dan rombongan kemudian bergerak ke akademi masakan tradisional Korea. Di sana, saya diajar menyediakan dua masakan kegemaran rakyat negara itu iaitu kimchi dan bibimbab.

Kimchi sejenis makanan tradisi diperbuat daripada beberapa jenis sayuran. Biasanya kimchi dimakan dengan nasi. Bibimbab pula nasi campur di mana nasi panas dihidang di dalam mangkuk bersama namul (sayur goreng), daging dan telur goreng serta gochujang (sejenis sambal).

Kami kemudian ke Kedutaan Malaysia untuk bertemu Duta, Datuk M Santhananaban. Pejabat kedutaan ini terletak di Hannam-dong berdekatan Universiti Dankook. Saya difahamkan, 400 pelajar Malaysia menuntut di universiti ini. Pertemuan ini berakhir kira-kira jam 6 petang dan kami bergegas ke restoran Evergreen di Itaewon untuk makan malam.

Selesai mengisi perut, kami melihat pertunjukan teater The Jump yang menjadi kebanggaan negara itu. Persembahan menggabungkan seni pertahanan diri, gimnastik dan komedi ini popular, malah ia pernah dipersembahkan di banyak negara, termasuk Belanda dan Amerika Syarikat.

Hari kedua, saya berpeluang meluncur salji di Gangwon-do. Kami keluar dari Hotel Hamilton, Itaewon kira-kira jam 7 pagi. Perjalanan ke lokasi dituju makan masa dua jam.

Rupa-rupanya bukan senang meluncur salji, apatah lagi ini percubaan pertama saya. Kaki saya sakit, tapi disebabkan semangat berkobar-kobar, saya tetap mencuba sehingga dapat melakukannya. Memang seronok, sedar-tidak sedar jam menunjukkan 2 petang.

Langkah Mawi kemudian ke Pulau Nami yang menjadi lokasi penggambaran drama Korea popular, Winter Sonata. Perjalanan dari lokasi luncur salji ke jeti hanya mengambil masa 10 minit.

Saya dimaklumkan, pulau ini dinamakan Nami sempena mengenang jasa Jeneral Nami yang meninggal dunia pada usia 27 tahun pada zaman Dinasti Choseon.

Di pulau ini tiada kereta, biasanya pengunjung hanya berjalan kaki atau berbasikal. Selain pemandangan, burung Kasawari yang dibiarkan bergerak bebas turut menjadi tarikan utama pulau ini.

Kami kemudian ke Magic Family Place yang menjadi tempat berkumpul ahli silap mata seluruh dunia.

Di sini saya menyaksikan persembahan mereka dan belajar skil baru. Semua pekerja di situ pandai silap mata, termasuk pelayan dan yang menyediakan minuman.

Esoknya kami melawat Perbadanan Pelancongan Korea. Kami ke Akademi Muzik Samulnori untuk menyaksikan kehebatan empat pemuzik gendang profesional yang dikenali sebagai Samulnori.

Mengikut penjelasan kakitangan akademi itu, Samul bermaksud empat objek manakala nori pula bermain.

Kumpulan diasaskan pada 1978 ini bukan saja popular di Korea, bahkan pernah mengadakan persembahan di serata dunia, termasuk New York, Los Angeles, Boston dan Chicago. Ketika di akademi ini, saya berkesempatan belajar cara memukul gendang dengan Samulnori.

Perjalanan diteruskan ke Imsadong, di mana lebih 40 peratus kedai di situ menjual barangan antik, termasuk lukisan, seramik dan perabot.

Seronoknya, di sana kami boleh tawar-menawar. Saya membeli replika pedang diperbuat daripada kayu untuk dibawa pulang buat kenang-kenangan.

Selepas itu kami singgah ke taman tema tertutup paling besar di Asia, Lotter World. Di taman tema ini ada pelbagai jenis permainan dan saya berpeluang menghiburkan pengunjung di sana dengan tiga lagu iaitu Angan dan Sedar, Kian dan Cinta Zulaikha.

Penggambaran Langkah Mawi diteruskan dengan rakaman berkunjung ke Dongdaemun, kawasan membeli-belah yang dibuka 24 jam. Disebabkan masa terlalu singkat, saya hanya sempat membeli sehelai seluar.

Jika ingin menyusuri pengalaman saya di Korea, jangan ketinggalan menonton Langkah Mawi di Astro Ria, April depan.

Sekian, wassalam.

Metro Ahad 130208

Sunday, January 6, 2008

Randommania: Kerana Karina Party


Gua.com.my celebrated three-month anniversary with an entry into Malaysia Book of Records for producing Kerana Karina, the country's first online drama series.

Dunia Mawi: Program Luar Negara

ASSALAMUALAIKUM dan selamat sejahtera semua. Bahang tahun baru masih terasa. Sana-sini masih terdengar orang membicarakan soal azam, perancangan dan harapan 2008.

Malah, kemeriahan sambutan dan percikan bunga api di Dataran Merdeka pada malam tahun baru lalu masih terbayang di ruang mata. Saya berpuas hati dengan persembahan malam itu. Apa yang saya rancang berjalan dengan lancar. Paling penting penonton terhibur dengan lagu dan gimik saya.

Minggu pertama tahun baru ini, jadual saya padat dengan sesi fotografi bersama media. Selebihnya, masa saya banyak dihabiskan di pejabat baru Mawi World Sdn Bhd. Adat berpindah, banyak barang yang perlu dikemas. Saya dan rakan MWSB cukup bersemangat mengemas apa yang patut. Puas rasanya bila melihat susun atur pejabat yang lebih selesa dan tersusun.

Tahun ini juga saya akan melangkah ke banyak negara. Syukur, saya diundang menjayakan program untuk saluran di Astro berjudul Langkah Mawi. Program ini akan turut mengupas perihal adat, muzik, fesyen dan kehidupan setempat serta silap mata.

Hari ini, saya akan berlepas ke Korea Selatan yang menjadi destinasi pertama program ini. Kunjungan saya selama lima hari ke sana mendapat kerjasama Organisasi Pelancongan Korea (KTO).

Difahamkan jadual di Korea Selatan nanti sangat padat. Saya akan menyelami sendiri pengalaman dan turut mengambil bahagian dalam persembahan yang diatur KTO.

Antara yang menarik ialah KTO mengundang khas pasukan taekwondo paling hebat di Korea Selatan untuk sama-sama menjayakan penggambaran ini. Selain itu program ini juga tidak ketinggalan merakamkan pertunjukan ‘comical jump’ yang menjadi antara tarikan utama di sana.

Saya juga berpeluang belajar meluncur jet ski dan melawat pulau yang menjadi lokasi utama penggambaran Winter Sonata. Tidak sabar rasanya merasai saat-saat indah itu.

Saya sudah bersedia berdepan dengan cuaca sejuk di sana. Saya dimaklumkan suhu di sana sekitar 15 Celsius hingga di bawah paras beku negatif lima Celsius.

Insya-Allah dalam coretan minggu depan, saya akan titipkan pengalaman sepanjang berada di Korea buat tatapan semua. Selain itu, saya akan maklumkan destinasi Langkah Mawi seterusnya.

Sekian, wassalam...

Metro Ahad 060108