Wednesday, January 23, 2008

Dunia Mawi: Hiburkan Askar

ASSALAMUALAIKUM. Khamis lalu, saya menyertai Malam Gala Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sempena sambutan Jubli Intan RAMD di Hotel Palace of the Golden Horses.

Syukur, acara ini berlangsung dengan lancar. Saya teruja menjayakan persembahan selama setengah jam, apatah lagi ini julung kali RAMD mengundang saya.

Persembahan dibahagi kepada empat segmen, yang mana lagu dendangan saya dibawa secara medley. Dimulakan dengan segmen patriotik, saya menghiburkan tetamu dengan lagu Bahtera Merdeka, Pahlawanku dan Warisan.

Malam gala ini diteruskan dengan segmen P Ramlee dan Saloma yang menyaksikan saya berduet dengan penyanyi RAMD, Niza. Lagu yang menghiasi segmen ini adalah Gelora, Saat Yang Bahagia dan Semalam Ku Bermimpi.

Persembahan diteruskan dengan lagu Memikat Hati yang pernah dipopularkan R Azmi disusuli dengan medley 1960-an di mana saya mengalunkan lagu Laobe, Lagu Jiwa Lagu Cinta serta Salam Mesra.

Sebagai penutup, saya mendendangkan lagu Kian, Cinta Zulaikha, Aduh Saliha serta Angan dan Sedar. Saya puas dapat memeriahkan majlis yang dianjurkan secara besar-besaran ini. Diharap selepas ini RAMD sudi mengundang saya lagi.

Jumaat lalu, saya memenuhi undangan majlis perasmian Careffour Jalan Kapar, Klang. Memang meriah, orang ramai tak putus-putus berkunjung ke sini. Lebih menggembirakan, di Carrefour ada sudut khas menjual barangan Mawi World.

Selepas ini orang ramai yang ingin mendapatkan barangan Mawi boleh singgah di sudut ini. Selain kemeja-T dan topi, turut dijual ialah beg dan peralatan sekolah.

Semalam saya meraikan kira-kira 200 anak yatim di Greentown Mall, Ipoh. Program ini turut mendapat kerjasama Anugerah Amal dan YTL Hotel and Properties (YTL H&P). Selain berhibur, mereka menerima hadiah beg sekolah dan pensil warna terbitan Mawi World yang ditaja YTL H&P.

Kesempatan itu juga saya manfaatkan dengan mempromosi album 1 Dalam 1000. Seronok dapat beramah mesra dengan peminat. Orang Ipoh memang ‘sporting’ dan baik hati.

Hari ini saya fokus perhatian kepada persiapan Anugerah Juara Lagu yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Selain memantapkan vokal, saya perlu meningkatkan stamina supaya persembahan di pentas bertenaga.

Oh ya, minggu lalu saya tidak sempat bercerita pengalaman hari terakhir di Korea memandangkan ruang terhad. Jadi, izinkan saya berkongsi sedikit lagi memori manis ketika berkunjung ke negara itu.

Sebelum pulang ke tanah air, saya menyaksikan persembahan taekwando oleh peserta sukan Olimpik. Pergerakan mereka hebat dan tangkas. Saya berpeluang belajar serba sedikit seni pertahan diri ini dan berjaya membuat tendangan memecah papan.

Berdarah kaki saya ketika melakukan tendangan ini. Jurulatih yang mengajar saya berpendapat saya ada bakat dan memerlukan lebih latihan.

Sebelum bergerak ke lapangan terbang, saya berpeluang membeli-belah selama sejam. Memandangkan barangan di sana mahal, saya tidak banyak membeli. Maklumlah Korea adalah negara mahal dan mencatat kos hidup paling tinggi selepas Jepun.

Istimewanya di negara ini tidak payah risau soal jenayah. Rakyat di sana sangat berdisiplin. Difahamkan selepas habis sekolah, mereka dikerah menyertai askar selama dua tahun. Tidak hairan mengapa kes jenayah sangat rendah di sana.

Masalah paling besar kami adalah bahasa dan suhu sejuk. Bayangkan sudah pakai empat lapis bajupun badan masih menggigil kesejukan.

Saya ingin mengucap terima kasih kepada Duta Malaysia di Korea, Datuk M Santhananaban, Badan Pelancongan Korea, Pengarah Langkah Mawi, Rahila Ali dan krew penggambaran kerana melayan saya dengan baik sepanjang di sana.

Sampai di sini penulisan saya minggu ini. Kita bersua lagi minggu depan. Wassalam.


METRO AHAD 200108