ASSALAMUALAIKUM. Alhamdulillah, kembara saya ke Korea Selatan berjalan lancar seperti diharapkan. Rombongan penggambaran Langkah Mawi selamat pulang ke tanah air malam Jumaat lalu.
Sampai ke hari ini masih terasa penat, malah badan kurang sihat. Mungkin kerana perubahan cuaca yang ketara. Seperti kita sedia maklum, di Korea Selatan sekarang musim salji. Sejuk mencengkam hingga ke tulang. Suhu sehingga -10° Celsius.
Kami bertolak ke Seoul kira-kira jam 1.30 pagi Isnin lalu dan tiba 8 pagi. Meskipun kesejukan, saya kagum dengan pemandangan bandar raya itu yang sangat cantik.
Saya dan rombongan kemudian bergerak ke akademi masakan tradisional Korea. Di sana, saya diajar menyediakan dua masakan kegemaran rakyat negara itu iaitu kimchi dan bibimbab.
Kimchi sejenis makanan tradisi diperbuat daripada beberapa jenis sayuran. Biasanya kimchi dimakan dengan nasi. Bibimbab pula nasi campur di mana nasi panas dihidang di dalam mangkuk bersama namul (sayur goreng), daging dan telur goreng serta gochujang (sejenis sambal).
Kami kemudian ke Kedutaan Malaysia untuk bertemu Duta, Datuk M Santhananaban. Pejabat kedutaan ini terletak di Hannam-dong berdekatan Universiti Dankook. Saya difahamkan, 400 pelajar Malaysia menuntut di universiti ini. Pertemuan ini berakhir kira-kira jam 6 petang dan kami bergegas ke restoran Evergreen di Itaewon untuk makan malam.
Selesai mengisi perut, kami melihat pertunjukan teater The Jump yang menjadi kebanggaan negara itu. Persembahan menggabungkan seni pertahanan diri, gimnastik dan komedi ini popular, malah ia pernah dipersembahkan di banyak negara, termasuk Belanda dan Amerika Syarikat.
Hari kedua, saya berpeluang meluncur salji di Gangwon-do. Kami keluar dari Hotel Hamilton, Itaewon kira-kira jam 7 pagi. Perjalanan ke lokasi dituju makan masa dua jam.
Rupa-rupanya bukan senang meluncur salji, apatah lagi ini percubaan pertama saya. Kaki saya sakit, tapi disebabkan semangat berkobar-kobar, saya tetap mencuba sehingga dapat melakukannya. Memang seronok, sedar-tidak sedar jam menunjukkan 2 petang.
Saya dimaklumkan, pulau ini dinamakan Nami sempena mengenang jasa Jeneral Nami yang meninggal dunia pada usia 27 tahun pada zaman Dinasti Choseon.
Di pulau ini tiada kereta, biasanya pengunjung hanya berjalan kaki atau berbasikal. Selain pemandangan, burung Kasawari yang dibiarkan bergerak bebas turut menjadi tarikan utama pulau ini.
Kami kemudian ke Magic Family Place yang menjadi tempat berkumpul ahli silap mata seluruh dunia.
Di sini saya menyaksikan persembahan mereka dan belajar skil baru. Semua pekerja di situ pandai silap mata, termasuk pelayan dan yang menyediakan minuman.
Esoknya kami melawat Perbadanan Pelancongan Korea. Kami ke Akademi Muzik Samulnori untuk menyaksikan kehebatan empat pemuzik gendang profesional yang dikenali sebagai Samulnori.
Mengikut penjelasan kakitangan akademi itu, Samul bermaksud empat objek manakala nori pula bermain.
Kumpulan diasaskan pada 1978 ini bukan saja popular di Korea, bahkan pernah mengadakan persembahan di serata dunia, termasuk New York, Los Angeles, Boston dan Chicago. Ketika di akademi ini, saya berkesempatan belajar cara memukul gendang dengan Samulnori.
Perjalanan diteruskan ke Imsadong, di mana lebih 40 peratus kedai di situ menjual barangan antik, termasuk lukisan, seramik dan perabot.
Seronoknya, di sana kami boleh tawar-menawar. Saya membeli replika pedang diperbuat daripada kayu untuk dibawa pulang buat kenang-kenangan.
Selepas itu kami singgah ke taman tema tertutup paling besar di Asia, Lotter World. Di taman tema ini ada pelbagai jenis permainan dan saya berpeluang menghiburkan pengunjung di sana dengan tiga lagu iaitu Angan dan Sedar, Kian dan Cinta Zulaikha.
Penggambaran Langkah Mawi diteruskan dengan rakaman berkunjung ke Dongdaemun, kawasan membeli-belah yang dibuka 24 jam. Disebabkan masa terlalu singkat, saya hanya sempat membeli sehelai seluar.
Jika ingin menyusuri pengalaman saya di Korea, jangan ketinggalan menonton Langkah Mawi di Astro Ria, April depan.
Sekian, wassalam.
Metro Ahad 130208
|