Wednesday, January 23, 2008

Mawi Akur Teguran

Malah, rezeki Mawi juga makin luas. Selain menjadi duta produk tempatan, juara Akademi Fantasia 3 (AF3) ini turut menjadi pilihan Korea Tourism Organization (KTO) sebagai duta pelancongan untuk mempromosikan negara terkenal itu di Malaysia.

Bagaimanapun, sejauh manakah Mawi dapat melaksanakan tanggungjawabnya itu? Sukar untuk diperkatakan kerana Mawi sendiri dilaporkan ‘putus idea’ untuk memberi jawapan meyakinkan ketika ditanya mengenai tempat menarik di tanah air sendiri.

Justeru, Mawi disifatkan perlu mendapat bimbingan daripada pihak di sekelilingnya terutama syarikat pengurusan, Maestro Talent & Manegement Sdn Bhd (Maestro). Ia berikutan, penyanyi itu kelihatan tidak yakin pada sidang media dihadiri.

Mawi berkata dia akur pada teguran itu. Malah, katanya sebagai penyanyi dia juga bersedia menerima apa saja teguran demi kebaikan dan kerjaya seninya.

“Pada saya, asalkan ia teguran membina apa salahnya. Malah, ketika membaca laporan itu pun (ruangan Jarum Emas), saya biasa saja.

“Secara tidak langsung, saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Selain itu, saya juga akan mempersiapkan diri dengan pengetahuan am,” katanya .

Bagaimanapun, kata Mawi, setiap orang caranya pasti berbeza. Akuinya, itu memang caranya dan diharapkan ia boleh diterima.

Sehubungan itu, Penerbit Nizarman (M) Sdn Bhd, Ruhani Abdul Rahman berkata dia setuju dengan pandangan Jarum emas supaya Mawi diberi bimbingan. Katanya jika Mawi diberi pendedahan dan asuhan yang baik, pemuda itu akan lebih maju lagi.

“Namun, apa yang terjadi padanya (Mawi) ketika di Korea itu disebabkan tidak mendapat bimbingan cukup. Dalam soal ini, Maestro seharusnya memainkan peranan lebih. Mawi patut menjalani kursus khas yang melatih dia cara berkomunikasi.

“Selaku penyanyi popular, Mawi sememangnya perlu menghadiri kelas bahasa Inggeris untuk memudahkan berkomunikasi apabila berada di luar negara. Justeru, mungkin belum terlewat untuknya belajar kerana ia juga untuk jangka masa panjang.

“Sebagai pemuda yang datang dari kampung, banyak yang Mawi tidak tahu. Oleh itu, tanggungjawab Maestro supaya peka pada keperluannya. Jangan hanya mendapatkan projek menyanyi untuk Mawi saja, sedangkan banyak perkara yang dia tidak tahu,” katanya.

Rohani berkata Mawi artis berbakat besar. Justeru, sudah semestinya pengetahuan Mawi dipertingkatkan. Menerusi cara itu, orang akan lihat peningkatan Mawi itu seiring dengan ‘pengiktirafan’ diraihnya sebagai duta pelancongan Korea.

“Maestro sekali lagi disarankan beri sedikit masa Mawi mengikuti kursus meningkatkan pengetahuannya. Saya percaya, Mawi akan sedia mengikut apa yang ditetapkan Maestro demi kebaikan kerjaya diceburinya ini.

“Kepada Mawi diharapkan memberi ruang pada diri supaya banyakkan membaca. Sekurang-kurangnya, dengan pengetahuan am yang ada dia tidak ketinggalan. Pada saya, pembacaan amat penting menjana ketajaman minda,” katanya.

Bagi pengacara popular, Aznil Nawawi pula, apa yang berlaku pada Mawi itu bukan salah pemuda itu seorang. Katanya tidak wajar jika hanya Mawi dipersalahkan. Sepatutnya, semua pihak harus bertanggungjawab.

“Terus-terang, saya katakan dipilih menjadi ‘duta’ untuk produk atau apa saja bukan perkara yang boleh dipandang mudah. Lebih-lebih lagi, mewakili pelancongan kerana kita membawa nama negara. Ia tanggungjawab besar harus diberi perhatian.

“Jadi ‘duta’ juga bukan hanya dapat banyak duit dengan tayang pakaian dan muka tetapi seseorang mesti berpengetahuan mengenai produk diwakili. Apapun, dalam soal Mawi, dia (Mawi) patut diberi pendedahan pihak berkenaan.

“Sama ada pihak pengurusannya atau pihak yang mengundangnya ke Korea. Mawi juga harus dimaklumkan apa yang dikehendaki mereka. Bagaimanapun, Mawi kena tahu apa tanggungjawab dia yang sebenarnya. Mawi harus teliti,” katanya.

Aznil berkata apabila keadaan seperti ini berlaku, sedikit sebanyak ia mengganggu reputasi Mawi. Sebagai penyanyi terkenal, Mawi perlu bersikap lebih tahu kerana dia sudah tiga tahun bergelar artis. Katanya, situasi Mawi ini diharap menjadi pengajaran pada artis lain.

Dalam ruangan Jarum Emas, Metro Ahad pada 19 Januari lalu dilaporkan Mawi banyak mendiamkan diri ketika sesi sidang akhbar. Kekurangan maklumat mengenai Korea termasuk tanah air sendiri menyebabkan Mawi terpaksa dibantu duta Malaysia di Korea, Datuk M Santhananaban.

Pihak Mawi juga hanya membawa 10 keping CD Mawi pada kunjungan itu. Justeru, bagaimana dia mampu mendekatkan diri dengan penonton Korea.


HARIAN METRO 230108