Pemilihan juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3) itu diadakan dalam majlis sederhana di pejabat KTO (Korea Tourism Organazation) di Seoul, baru-baru ini, disempurnakan Presiden PTO, Jee-Chul Oh dan disaksikan duta Malaysia di Korea, Datuk M Santananaban.
Ketika ditemui, Mawi berkata pemilihannya sebagai duta KTO diharap bukan saja menjadi kebanggaan kalangan artis tanah air, tetapi peminat setianya serta rakyat Malaysia.
“Saya sudah dimaklumkan mengenai pemilihan sebagai duta KTO sejak hujung tahun lalu. Ia adalah urusan KTO dengan pihak pengurusan saya, Maestro Talent.
“Pemilihan ini memang tidak saya sangka. Saya bukan saja bangga dan terharu dengan perlantikan ini, bahkan menyuntik semangat untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian, sekali gus membantu KTO mempromosikan Korea di Malaysia sepanjang 2008 ini,” katanya.
Kehadiran Mawi di Korea nyata ditunggu-tunggu pihak media massa di sana. Ini jelas ketika sidang akhbar pemilihan Mawi, pelbagai media tempatan turut membuat liputan seperti Seoul Economic Daily, Living TV, Newsis, The Travel Journal, Jeju Tourism News, The Transportation Information News, Travel Post dan The Travel Information News.
Sejajar dengan perlantikan Mawi itu, soalan kalangan wartawan Korea menjurus cara bagaimanakah penyanyi terkenal kita itu mahu mempromosikan Korea di Malaysia.
Menurut Mawi, selama berada di Korea dapatlah dia berkongsi pengalaman dengan peminatnya kelak betapa menariknya negara itu yang sesuai untuk dikunjungi.
“Boleh dikatakan setiap hari, saya menjayakan pelbagai show di negara saya. Melalui peluang itu akan saya ceritakan kepada peminat saya mengenai negara Korea ini.
“Biarpun kunjungan saya singkat di Korea, saya tertarik dengan keramahan orang di sini,” katanya.
Agak mengecewakan pula Mawi seperti kurang bersedia untuk berhadapan dengan wartawan tempatan, apabila ada yang menerjah dengan soalan apakah destinasi menarik di Malaysia serta kenalkah dia pada artis Korea ?
“Tempat menarik di Malaysia seperti pulau Tioman, Langkawi,” katanya ringkas . Melihat Mawi seperti putus idea M Santhananaban mencelah ,” Gunung Kinabalu.”
“Ya, Gunung Kinabalu. Artis Korea yang saya kenal Rain. Kumpulan ini pernah beraksi di negara saya dulu,” katanya.
Bersempena perlantikan itu, Mawi diberi layanan VIP selama lima hari di Korea dengan penerbangan kelas pertama Korean Air serta menginap di Hotel Hamilton di Itaewon.
Ikutkan pihak KTO tidak mahu menempatkan Mawi di hotel bertaraf empat bintang itu, tetapi pengurusan Mawi memilih Hotel Hamilton yang berhadapan dengan Hard Rock Cafe Seoul itu kerana mudah mencari makanan halal.
Kehadiran Mawi di Korea disertai tujuh krew program Langkah Mawi serta seorang wakil Maestro, seorang Pembantu Peribadi Mawi serta seorang wakil Harian Metro.
Korea adalah destinasi pertama Langkah Mawi sebelum menjelajah ke negara lain.
Ikut perancangan, lokasi di Korea cuma dua episod, ada kemungkinan menjadi tiga episod.
Selama di Korea, Mawi diberi peluang membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti belajar memasak makanan tradisional di Institut Of Traditional Korean Cuisine, menjayakan kombinasi teater dan seni mempertahankan diri The Jump, meluncur salji di Gangwon-do, ke Pulau Nami (lokasi siri Winter Sonata), ke Akademi Muzik Samulnori, ke Magic Family Place serta mengadakan persembahan di taman tema tertutup terbesar di Asia, Lotter World.
Bagi Mawi sejak menjadi artis, Korea menambahkan lagi destinasi negara yang sudah dikunjunginya seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Australia dan England.
“Saya tidak pernah bermimpi keluar negara sejauh ini. Ketika di kampung dulu,saya cuma teringin ke Portugal kerana minat pasukan bola sepak negara itu,” katanya.
Harian Metro 140108
|