Sunday, December 9, 2007

Dunia Mawi: Rakaman di Jakarta

9 Disember 2007

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Pantas sungguh masa berjalan. Sedar tak sedar, sudah seminggu berlalu dan kita bertemu lagi di ruangan ini.

Ikutkan, saya hampir tidak dapat menyiapkan coretan ini kerana jadual harian terlalu padat. Setiap hari ada saja undangan perlu dipenuhi, malah saya perlu berkejar dari satu tempat ke satu tempat.

Bagaimanapun, amanah yang beri oleh Metro Ahad harus saya pikul dengan sebaiknya. Lagipun saya tidak mahu mengecewakan peminat yang mungkin menunggu coretan ini. Maka terhasillah coretan yang tidak seberapa ini.

Bagai yang dikhabarkan sebelum ini, saya ada menerima lagu daripada komposer seberang. Justeru, Isnin lalu saya terbang ke Jakarta untuk merakam lagu berkenaan .

Pengikut setia ruangan ini mungkin sedia maklum, saya kini dalam proses pembikinan album yang akan menembusi pasaran Indonesia. Selain beberapa lagu baru hasil nukilan komposer negara itu, album ini diserikan dengan lagu hit saya sebelum ini.

Ini bukan pengalaman pertama saya merakam lagu di Jakarta. Kunjungan kali ini bagaimanapun sangat bermakna kerana berpeluang berbincang lebih lanjut mengenai album berkenaan.

Syukur, setakat ini ia berjalan sepertimana diharapkan. Malah, saya mendapat kerjasama baik daripada pihak di sana.

Secara tidak langsung, pendedahan ini membuka mata saya terhadap cara kerja berbeza, sekali gus memberi sedikit ruang mengenali penggiat seni negara jiran.

Pengalaman rakaman lagu ini akan saya lanjutkan dalam coretan minggu depan kerana ada lagi perkembangan lain yang ingin saya kongsi dalam cerita ini.

Sabtu minggu lalu, saya menjayakan Konsert Kotex di Danga Bay. Selain saya, persembahan ini turut dijayakan dua lagi bekas pelajar Akademi Fantasia iaitu Adam dan Elliza, Sofaz dan Ahli Fiqir. Sambutan diterima sungguh memberangsangkan.


Saya difahamkan, seramai 5,000 hingga 7,000 penonton menyaksikan konsert ini.

Tahniah diucapkan kepada Kotex kerana berjaya menganjurkan acara besar-besaran ini.

Dengan adanya konsert ini, dapat saya bertemu orang Johor yang tidak jemu-jemu menyokong perjuangan seni saya selama ini. Saya sangat berharap mereka terhibur dan berpuas hati dengan persembahan saya serta rakan artis lain.

Sejurus tamat persembahan, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk melakukan persiapan terakhir konsert berikutnya, Live N Loud yang berlangsung di Mon’t Kiara Equestrian Club.

Saya teruja, maklumlah konsert ini dijayakan ramai artis popular tempatan dan Barat.

Setakat ini coretan saya kali ini. Seperti saya janjikan tadi, insya-Allah apa yang terkurang akan saya panjangkan dalam coretan berikutnya. Sekian, wassalam.

ehsan dari harian metro