Semakin seronok dengan kerjaya lakonan walaupun mencabar
DULU dia hanya dikenali sebagai penyanyi kerana lahir daripada program realiti nyanyian. Kini secara perlahan-lahan, Marsha Londoh mula mencari peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam lakonan pula.
Disebabkan bidang ini terlalu baru, dia tidak menafikan agak kekok juga untuk membiasakan diri.
Marsha, yang menjadi pelakon utama dalam drama bersiri yang disiarkan secara online, Kerana Karina, mengakui bidang lakonan mencabar dirinya.
Setelah menempuh sendiri pengalaman itu, dia yang ditemui pada sidang media yang mengangkat drama itu sebagai drama pertama online sekali gus diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR), menyanjung tinggi ketabahan warga pelakon.
“Biarpun ini adalah kali pertama saya ceburi bidang lakonan, namun dapat rasai bahawa bidang ini sangat susah berbanding nyanyian.
“Selama 10 hari berada di lokasi, saya berasa sangat letih namun seronok kerana ikatan kemesraan bersama rakan artis sepanjang penggambaran itu membuatkan saya turut mencintai bidang ini,” katanya.
Tambah Marsha, Kerana Karina ini menjadi langkah awal untuk dirinya menceburkan diri secara lebih serius dalam lakonan. Tambahan pula, menerusi drama itu dia diberikan peranan utama.
“Saya bertuah apabila pembabitan saya secara serius dalam bidang lakonan mendapat bantuan dari pelakon berpengalaman seperti Zizan dan Sazzy Falak.
“Kalau dilihat kembali drama itu, saya sedikit kecewa kerana banyak lagi aspek lakonan yang harus saya tingkatkan sekiranya masih di beri peluang berada dalam bidang ini lagi,” jelasnya.
Penampilan Marsha sebagai pelakon sebenarnya sudah bermula menerusi filem Misi: 1511 tetapi hanya muncul dalam masa terlalu singkat iaitu satu babak saja. Ini membuatkan pembabitannya dalam lakonan tidak dipandang langsung oleh banyak pihak.
“Jika diikutkan sebelum ini pun saya pernah berlakon dalam filem Misi 1511 tetapi sekadar pelakon sampingan saja. Selepas itu juga saya juga pernah bersama satu produksi drama 26 episod. Saya hanya sempat melakonkan sebanyak 20 episod saja, malangnya drama itu tidak dapat dikeluarkan stesen televisyen kerana mempunyai sedikit masalah.
“Sepanjang penggambaran dijalankan sepanjang 10 hari banyak ilmu lakonan dapat saya timba daripada rakan artis. Itupun ditambah dengan sedikit asas lakonan yang saya belajar semasa berada dalam Akademi Fantasia lalu,” katanya.
Menurutnya lagi, memang tidak dinafikan apa yang dilakukan oleh gua.com.my adalah sesuatu yang baru tetapi maklum balas yang diterimanya cukup memberangsangkan.
Bahkan, Marsha sendiri menjelaskan, kemunculannya dalam drama yang boleh dilihat dengan melayari gua.com.my itu turut mendapat reaksi positif daripada kenalan rapat dan peminatnya.
Sementara itu pelakon yang mula bersinar sejak menjadi hos pada program Realiti, Zizan Nin berkata dirinya teruja menerima tawaran untuk menjayakan drama yang dianggap menarik.
“Melalui gua.com.my ini saya melihat konsep yang diperkenalkan ini cukup unik. Ini adalah strategi yang berbeza daripada drama yang sedia ada. Saya melihat usaha yang dibuat oleh pihak gua.com.my ini peka dengan kehendak golongan yang sentiasa melayari internet.
“Biarpun golongan ini tidak seramai yang menonton televisyen, namun ia menjadi pelopor kepada pengusaha program untuk menghasilkan lebih banyak program menarik agar golongan melayari internet lebih bertambah,” katanya yang sedang menunggu filem terbaru disiarkan tahun depan berjudul Cinta Terakhir.
Di majlis pengiktirafan drama Kerana Karina oleh MBR yang diadakan baru-baru ini, Pengurus Besar Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abd Jalil berkata drama terbitan Grand Brillance Sdn Bhd (GBSB) kini menerima lebih 12 juta pengunjung sejak dilancarkan September lalu.
“Sehingga kini kita sudah menerima seramai 45,000 ahli yang berdaftar melalui laman web ini. Kami menjangka jumlah penonton bakal bertambah berdasarkan kejayaan yang memberangsangkan setakat hari ini.
“Diiktiraf sebagai perintis drama online pertama memberi semangat kepada semua yang terbabit dalam projek ini. Ia memotivasikan lagi kami untuk terus berkarya melalui internet,” katanya.
|