Sunday, December 16, 2007

Pejabat Baru Mawi


Ubah suai menelan belanja RM80,000


DENGAN keluasan 2,800 kaki persegi, pejabat baru Mawi World Sdn Bhd (MWSB) kini menjanjikan lebih keselesaan. Diilhamkan oleh Casa Impian Holdings Sdn Bhd (Casa Impian), susun atur dan dekorasinya tampak kemas dan mendamaikan. Kombinasi sentuhan moden dan nusantara memberi impak menarik.

Melihat hasilnya, pengubahsuaian yang menelan belanja RM80,000 itu nyata berbaloi. Selain bilik urusan yang menempatkan kakitangan MWSB, pejabat ini turut dilengkapi ruang tamu, pantri, studio tarian dan fotografi.

Ruang tamu dibahagikan kepada sudut menunggu dan bar. Lebih menarik, ruang yang menerapkan konsep terbuka ini boleh dipraktikkan sebagai bilik seminar. Dilengkapi projektor, ia boleh memuatkan 40 peserta.

Ketika berkunjung ke pejabat yang terletak di Wangsa Maju itu baru-baru ini, Mawi menjelaskan, pejabat berkenaan akan dirasmikan awal Januari depan.

Penyanyi paling popular itu mengakui berpuas hati dengan cetusan idea Casa Impian yang sebelum ini menaja hiasan dalaman banglo Teratak Bonda miliknya.

“Saya memang suka hasil kerja Casa Impian. Sebab itu saya tidak teragak-agak memilih syarikat ini sebagai perunding reka bentuk dalaman pejabat baru MWSB. Saya berterima kasih kepada Pengarah Urusan Casa Impian, Datin Noorlinda Abd Talib kerana sentiasa memberi yang terbaik kepada MWSB.

“Pejabat ini turut dilengkapi studio tarian dan studio gambar. Selepas ini bolehlah saya berlatih menari di pejabat dan jika ada media berminat mengambil gambar saya, bolehlah menggunakan bilik studio yang disediakan.

“Studio tarian ini juga dibuka kepada orang ramai. Sesiapa yang berminat menggunakan studio ini boleh menghubungi MWSB,” katanya sambil menjelaskan, kerja-kerja pengubahsuaian mengambil masa tiga minggu dan siap sepenuhnya semalam.

Mengulas lanjut aktiviti anjuran MWSB, anak jati Felda Taib Andak ini berkata, pelbagai program menarik diatur untuk sepanjang 2008.

Antaranya, bintang kesayangan ramai ini akan bercuti sekali lagi bersama peminat setianya Mac depan. Destinasi pilihan kali ini adalah Los Angeles. Meskipun belum dilancarkan, Mawi gembira apabila 30 orang mendaftar untuk turut serta dalam percutian itu.

MWSB juga menganjurkan seminar kecantikan, penampilan diri dan kelas tarian. Tidak ketinggalan pertandingan badminton dan memancing.

“Saya berbesar hati kerana bermula 2 Januari ini, pasar raya besar Carrefour menyediakan satu sudut khas yang menempatkan barangan jenama Mawi, antaranya kemeja-T, topi, alat tulis dan beg sekolah. Sudut khas ini ada di semua cawangan Carrefour.

“Penghujung Januari juga, saya akan terbang ke Turki untuk rakaman program terbitan Astro Oasis. Sebagai hos program ini, saya akan mengupas budaya Islam Turki pra dan pasca moden. Banyak tempat akan saya jelajahi, termasuk Ankara dan Istanbul,” katanya yang dijangka menyambung kembali penggambaran Aduh Saliha Mac depan.

Sambil menunjukkan kawasan pejabat barunya, Mawi berkata, segala urusan surat menyurat boleh dihantar ke pejabat barunya di No.11-2, Blok 3B, Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.

Metro Ahad