SHAH ALAM: “Jangan gunakan nama saya untuk mengurat wanita atau memperdaya sesiapa demi kepentingan diri sendiri. Ia taktik lapuk.
“Jadilah lelaki bermaruah serta gunakan kelebihan diri sendiri untuk melakukan sesuatu perkara dan tidak menyamar bagi mendapatkan apa yang dihajati,” itu amaran juara Akademi Fantasi ke-3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi (gambar), semalam.
Mawi memberikan amaran itu selepas menyedari ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan namanya untuk memikat wanita sejak sebulan lalu.
Menurut penyanyi kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu, selain tidak bermaruah, perbuatan berkenaan turut merosakkan imej dirinya kerana mungkin ada pihak menganggap pemanggil itu Mawi sebenar.
“Tolong jangan ambil kesempatan kerana orang sekarang bukannya mudah untuk percaya dengan perkara seperti itu. Saya sendiri pun tidak tergamak menjual nama bagi mendapatkan kekasih atau keperluan lain,” katanya.
Justeru, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Salihah itu meminta individu yang menjadi mangsa cubaan menipu oleh lelaki tidak bertanggungjawab itu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
“Saya tidak akan menggunakan nama saya sendiri untuk kepentingan peribadi atau memperdaya orang ramai.
“Saya mahu menjalani hidup bermoral dan bersyukur dengan apa yang dimiliki kini. Saya tidak akan lakukan perkara yang boleh menjejaskan reputasi atau imej diri yang dibina selama ini semata-mata mahu memikat wanita dengan menggunakan taktik lapuk itu,” katanya.
Mawi nyata berang sebaik mengetahui beberapa individu menghubungi Harian Metro memaklumkan seorang lelaki cuba memperdayakan beberapa gadis dengan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Mawi’ selain turut menabur pelbagai janji manis.
Lelaki terbabit dipercayai dari selatan tanah air dan turut menggunakan khidmat seorang lagi rakan wanitanya untuk memerangkap individu yang kononnya bakal menjadi mangsa.
Taktik lelaki itu ialah menghubungi telefon bimbit mangsa secara rambang sebelum meminta untuk bercakap dengan Cikgu Sahak.
Seorang wanita yang hampir menjadi mangsa memberitahu Harian Metro, ‘Mawi’ pada mulanya berlagak kononnya mahu bercakap dengan Cikgu Sahak, namun selepas diberitahu tersalah nombor, lelaki terbabit mula ‘jual minyak’.
“Saya kata saya bukan Cikgu Sahak dan tidak perlu tahu identiti saya, tetapi lelaki terbabit berkeras sebelum memaklumkan dia adalah ‘Mawi’ dan saya bertuah kerana dihubunginya.
“Saya kata tidak perlu jadi penipu kepadanya dan terus meletakkan telefon.
Bagaimanapun, lelaki terbabit menghantar SMS dan bertegas mengakui dia ‘Mawi’,” katanya.
Wanita yang enggan identitinya disiarkan itu kemudian dihubungi seorang wanita yang memaklumkan lelaki yang bercakap dengannya sebelum itu ‘Mawi’ sebenar.
Bagaimanapun, panggilan itu kemudian turut diputuskannya sebelum memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan membuat keputusan mendedahkan perbuatan lelaki pengecut terbabit bagi mengelakkan wanita lain menjadi mangsa.
Harian METRO
|