Tuesday, December 25, 2007

Dunia Mawi: Aidiladha di ibu kota



Keluarga datang ke Kuala Lumpur menyambut lebaran bersama


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Meskipun menyambut Aidiladha di ibu kota, kehangatan hari penuh keberkatan ini tetap dirasai. Saya sangat berbesar hati apabila keluarga sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk menyambut lebaran bersama saya.

Niat di hati memang mahu pulang ke Felda Taib Andak tapi tidak kesampaian kerana terikat dengan undangan persembahan. Mujurlah ibu, kakak dan adik memahami.

Jumaat lalu, saya menjayakan persembahan di Restoran Sri Melayu. Dalam majlis itu saya meraikan 150 anak yatim daripada Perkim. Alhamdulillah persembahan berjalan lancar, malah saya senang hati apabila semua adik comel yang diraikan hari itu kelihatan sangat gembira.

Walaupun sebahagian besar malu-malu, ada juga yang turut menyanyi. Melihat keletah mereka, saya terhibur. Tidak mengapalah beraya di Kuala Lumpur, asalkan semua adik ini bahagia.

Minggu ini juga saya ingin berkongsi pengalaman menghadiri Festival Silap Mata Sedunia di Genting Highlands. Dengan ditemani kakitangan Mawi World Sdn Bhd, saya tidak lepaskan peluang menghadiri bengkel silap mata untuk mempertajamkan lagi kemahiran diri.

Bengkel itu menghiburkan. Banyak juga teknik baru yang saya dan rakan pelajari. Tidak sangka, rakan saya juga jatuh cinta dengan silap mata. Mereka bersungguh-sungguh mempelajari apa diajar. Pecah perut dibuatnya melihat gelagat masing-masing cuba menguasai teknik yang diajar.

Selain bengkel, kami tidak lepaskan peluang menyaksikan pertunjukan dan pertandingan silap mata oleh pemain silap mata amatur serta profesional dari seluruh dunia.

Paling menarik perhatian ialah persembahan ahli silap mata terkenal, termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Russia. Memang meriah dan menakjubkan. Sebelum ini saya hanya menyaksikan persembahan mereka di kaca televisyen, tetapi kali ini ia berlaku betul-betul depan mata.

Pengalaman ini sungguh bermakna buat saya. Banyak teknik dan helah baru yang saya pelajari. Secara tidak langsung ia memberi idea kepada saya untuk mencuba sesuatu yang baru dalam persembahan saya. Menerusi festival ini juga, saya mempelajari cara menarik perhatian penonton.

Kalau ikutkan, saya diundang menjadi juri pertandingan silap mata amatur, tetapi jemputan itu tidak dapat saya penuhi berikutan terikat dengan komitmen lain. Ralat juga kerana peluang sebegini bukan datang selalu. Apatah lagi ia membabitkan penyertaan banyak negara. Apa boleh buat, sudah tertulis saya hadir hanya sebagai penonton.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Genting, terutama Tun Hanif Omar dan Datuk Anthony, kerana memberi layanan istimewa sepanjang kami di sana.

Sebut silap mata, jangan lupa saksikan aksi saya dan sifu silap mata saya, Steven dalam program Oh Lelaki yang bakal bersiaran 30 Disember ini. Menerusi acara diacarakan Fara Fauzana dan Nana itu, Steven akan memotong kepala saya menggunakan mesin pancung.

Kalau nak tahu, banyak yang saya belajar daripada Steven. Dia bukan saja berpengalaman luas, malah mengusahakan kedai barangan silap mata.

Sebelum berundur, saya ingin berterima kasih kepada RTM dan peminat kerana lagu dendangan saya Al-Janah tersenarai dalam pertandingan juara nasyid. Diharap lagu ini dapat bertahan hingga ke pertandingan akhir. Jika mahu mengundi lagu ini, layari nmi@islam.gov.my atau SMS ke NMI mv118.

Sampai di sini saja. Selamat Aidiladha diucapkan kepada umat Islam seluruh negara. Dalam bergembira, jangan lupakan mereka yang tiada. Sama-samalah kita membantu supaya keriangan lebaran dapat dikongsi bersama. Sekian, wassalam.

Metro Ahad