Sunday, December 16, 2007

Dunia Mawi: Hargai FELDA

Penuhi undangan walaupun keletihan

ASSALAMUALAIKUM. Malam ini Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pasti berseri dengan Konsert Malam Amal 1001 Gemilang. Saya berbesar hati kerana terpilih menjayakan persembahan besar-besaran ini di samping dua penyanyi tersohor negara, Jamal Abdillah dan M Nasir.

Saya difahamkan, segala kutipan dan sumbangan projek amal ini akan disalurkan ke beberapa badan kebajikan dan mereka yang memerlukan.

Selain dihiburkan dengan lagu solo, penonton akan diperdengarkan dengan lagu duet. Malah saya akan menampilkan kelainan dalam penyampaian lagu Cinta Zulaika.

Jom Heboh 2007 melabuhkan tirainya Ahad lalu. Masih segar di ingatan betapa meriahnya pekarangan Stadium Shah Alam. Dari pagi hingga ke malam saya setia di sana.

Seperti biasa saya beramah mesra dengan peminat di gerai Mamee dan pada sebelah petang saya beralih pula ke gerai Power Root.

Pengunjung tidak putus-putus berkunjung ke gerai. Ada yang mahukan tandatangan dan tidak kurang juga merakam gambar untuk kenang-kenangan. Usai tugas itu, saya bergegas ke pentas utama untuk melakukan ‘sound check’. Selepas berpuas hati, saya berehat di belakang pentas sementara menunggu giliran menyanyi.

Saya bertolak pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah malam. Penat sungguh, sampai saja di rumah saya terus tidur.

Keesokan harinya (Isnin lalu), saya memenuhi undangan Majlis Anugerah Belia Felda Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Walaupun penat belum hilang dan kurang sihat, saya gagahkan diri menyampaikan lima lagu. Seboleh mungkin saya tidak mahu menghampakan penganjur, apatah lagu saya juga anak Felda.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak Felda yang menerima pengiktirafan di atas kecemerlangan mereka.

Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Felda dan Seranta Felda kerana mengundang saya menjayakan acara ini dan tidak jemu-jemu menyokong kerjaya saya selama ini.

Rabu lalu, saya dan juara Akademi Fantasia 5, Mila menghiburkan tetamu jemputan majlis ulang tahun isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Hotel Ritz Carlton. Ramai kenamaan hadir dalam majlis itu. Saya tumpang gembira melihat Datin Seri Rosmah ceria sepanjang majlis berlangsung.

Baru-baru ini saya diundang menghiburkan 7,000 kakitangan Mercantile Point Sdn Bhd (MPSB) di Mines Exhibition Centre.

Selain saya, Misha Omar, Ziana Zain dan Maya Karin mendendangkan beberapa lagu. Kehadiran Fara Fauzana, Afdlin Shauki dan Harith Iskandar sebagai hos menggamatkan lagi suasana.

Meskipun jadual harian padat, saya tidak ketinggalan mempersiapkan diri untuk kemuncak Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Saya berlatih menari di studio tarian pejabat baru Mawi World Sdn Bhd di Wangsa Maju. Insya-Allah, akan ada kelainan dalam gerakan tarian saya.

Sampai di sini untuk minggu ini. Insya-Allah minggu depan saya akan berkongsi pengalaman mengikuti bengkel silap mata di Genting Highlands. Wassalam.

Metro Ahad