Sunday, December 30, 2007

Mawi Janji Aksi Dahsyat


MESKIPUN keadaan cuaca tidak menentu, Kumpulan Ambank yakin dengan kehadiran penyanyi nombor satu negara, Asmawi Ani (Mawi), 26, dapat menarik perhatian peminat ke Konsert Sinaran Kuala Lumpur 2008 yang diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.

Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim, berkata berdasarkan penganjuran konsert lalu yang berjaya mendapat sambutan hampir 100,000 penonton walaupun keadaan cuaca ketika itu hujan.

“Masih saya ingat lagi pada penganjuran konsert yang lalu, keadaan hujan tidak dihiraukan penonton malah mereka bergembira dan setia hingga ke akhir konsert. Ini membuktikan betapa semangatnya rakyat Malaysia untuk menyambut Tahun Baru.

“Walaupun persembahan itu tidak dijayakan Mawi, ia tetap meriah dengan kehadiran hampir 100,000 penonton.

“Justeru, dengan pembabitan Penyanyi Paling Popular di tanah air sekarang iaitu Mawi dalam Konsert Sinaran Kuala Lumpur 2008 pastinya lebih meriah sekali gus menarik lebih ramai penonton,” katanya.

Konsert percuma bernilai lebih RM1 juta ini dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur selaku rakan penaja.

Tan Sri Azman menambah, selain berhibur beliau mengharapkan konsert bertemakan ‘muhibah’ ini dapat memupuk semangat cintakan negara.

“Kebelakangan ini, kesejahteraan negara diuji apabila ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan pelbagai agenda yang boleh memecahbelahkan kepercayaan rakyat.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan kita haruslah bersatu menjaga keharmonian negara. Penganjuran konsert ini saya lihat sebagai salah satu ‘platform’ bukan untuk berhibur semata-mata malah memupuk semangat cintakan negara.

“Ia percuma dan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum dan agama dialu-alukan memeriahkan konsert ini. Selain acara nyanyian dari artis popular tanah air, persembahan bunga api secara besar-besaran turut diadakan,” katanya.

Pelancaran Konsert Sinaran Kuala Lumpur 2008 yang dirasmikannya di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu, turut dihadiri Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, Noraza Yusof dan Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez.


Sementara itu, Mawi menjanjikan persembahan lain dari lain, pada acara itu nanti mungkin melakukan aksi silap mata yang lebih dahsyat daripada sebelumnya.


“Saya mahu persembahan sempena sambutan Tahun Baru itu menjadi suatu acara cukup istimewa dan membuatkan semua peminat dan penonton terhibur.

“Sebagai insan saya juga berazam memperbaiki mutu vokal dan persembahan, menjadi insan lebih baik selain mendalami lagi ilmu silap mata dan bekerja keras lagi untuk terus berjaya dalam bidang seni.


Selain Mawi, ia turut dijayakan M Nasir, Mila, Awie dan kumpulan Wings.
Acara diserikan lagi dengan persembahan dari peserta ‘World Drums Festival Kuala Lumpur 2007’ yang terdiri dari Thailand, Singapura, Sri Lanka, Vietnam dan tuan rumah sendiri iaitu Malaysia.

HARIAN METRO 291207