Sunday, December 30, 2007

Dunia Mawi: Cari Tuah 2008


Majukan nyanyian, lakonan dan perniagaan

PANTAS sungguh masa berlalu, sedar tidak sedar 2007 sampai ke penghujungnya. Selamat tahun baru diucapkan kepada semua.

Doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi, moga kehadiran 2008 membawa lebih tuah, kejayaan, kebahagiaan dan makna buat kita. Buka lembaran ini dengan semangat berkobar-kobar.

Pun begitu, jangan lupa merenung kembali sejauh mana usaha kita sepanjang 2007. Adakah semua azam kita berjaya dilaksanakan atau masih ada yang tidak sempat dicapai. Andai ada yang tertinggal, apa kata cuba realisasikannya. Ingatlah tiada yang mustahil jika kita berusaha.

Azam saya untuk tahun baru ini adalah lebih berjaya dalam bidang seni suara, lakonan dan perniagaan. Mawi World Sdn Bhd semakin berkembang dan ada banyak perancangan yang bakal menjadi kenyataan sedikit masa lagi. InsyaAllah, kami akan menerbitkan satu program realiti tapi ia masih dalam peringkat perbincangan.

Jika keputusan sudah dicapai kelak, akan saya maklumkan kepada peminat semua. Di harap ia menjadi kenyataan dan memberi lebih ruang kepada Mawi World untuk bergerak lebih kencang dalam persada seni tanah air.

Pesan saya kepada generasi muda jauhilah gejala sosial dan kegiatan jenayah. Saban hari, kisah remaja terbabit dengan vandelisme, lumba motosikal haram, pelacuran, pembunuhan, buli, pengguguran bayi, dadah dan rompakan makin menjadi-jadi.

Mengapa perlu dibazirkan hidup dengan ‘noda’ yang akan mengundang sesal di kemudian hari. Seharusnya, usia muda itu dimanfaatkan dengan aktiviti sihat dan bermoral. Fokuskan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan kerjaya yang lebih menjamin masa depan.

Renungkanlah kerana kita yang mencorak kehidupan yang bakal ditempuh kemudian hari. Andai ‘hitam’ yang kita pilih, itulah yang akan kita tanggung seumur hidup. Andai dibasuh sekalipun, kesan yang terpalit masih tidak dapat dapat dihilangkan. Adakah itu yang kita mahu? Tepuk dada tanyalah selera.

Sesungguhnya kita bertuah dilahirkan di negara yang aman dan pesat membangun.

Oh ya, malam esok jangan lupa datang ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan kemunculan 2008. Ramai artis akan memeriahkan konsert ini malah saya akan menghiburkan penonton selama setengah jam. InsyaAllah jika tiada aral saya mendendangkan lima lagu berserta gimik yang pasti mengejutkan peminat. Jika ingin tahu bagaimana bentuk gimik itu, jemputlah ke Dataran Merdeka.


Belajar dari pengalaman lalu, tahun ini saya hanya memenuhi satu saja undangan konsert tahun baru. Saya tidak mahu lagi terkejar-kejar seperti dulu. Selain penat, tersangkut pula dalam kesesakan lalu lintas. Sudahnya persembahan terjejas.

Insya-Allah, saya akan memberikan persembahan terbaik malam ini. Diharap semua berpuas hati dengan alunan suara dan gimik saya.

Khamis lalu, saya memeriahkan perlawanan boling anjuran Karyawan di Ipoh. Sejurus tamat acara saya ke Tasik Gunung Helang untuk melakukan tinjauan. Untuk makluman semua, Mawi World memilih tempat ini sebagai lokasi pertandingan memancing yang akan berlangsung Mei depan. Sebagai penganjur, saya kenalah melihat sendiri tasik ini sebelum acara berlangsung.

Malam ini, saya akan menghiburkan tetamu majlis Anugerah Ikon Wanita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Saya harap segalanya akan berjalan lancar.

Di fahamkan, ramai tokoh akan wanita menghadiri acara gilang gemilang ini. Saya cukup kagum dengan kebolehan dan semangat mereka. Terbuktilah wanita hari ini hebat-hebat belaka. Mereka bukan saja memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan cemerlang malah berjaya dalam karier yang diceburi.

Sebelum mengundur diri, saya ingin mengucapkan sekali lagi selamat tahun baru kepada semua peminat dan pembaca setia ruangan ini. Saya memohon maaf andai coretan saya dalam Dunia Mawi mengguris perasaan pembaca sepanjang ia disiarkan.

Terima kasih juga kepada Metro Ahad kerana memberi ruang kepada saya berkongsi cerita dengan peminat. Saya juga sangat terharu kerana ruangan ini terus dikekalkan.

Ini semua berkat sokongan teman media dan juga orang ramai. InsyaAllah saya akan melaksanakan amanah ini sebaik mungkin.

Sekian, wassalam...

METRO AHAD 301207

* Jangan lupa tonton Oh Lelaki! malam ini - episod Mawi